SahabaTercinta

Ahad, 18 April 2010

Cabar Diri Untuk Berjaya

1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi


Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain


Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?


3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati
Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi. 

4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.


5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
 



Rabu, 14 April 2010

Paderi kristian mahu tukar nama Jesus kepada Allah

Salaam alaikum w.b.t.. semoga semuanya sihat2 dan bahagia selalu. Di sini saya ada mahu membawa satu perkhabaran yang mungkin dah ramai tahu. Dan ini bukannya untuk mencetuskan perbalahan dan seumpamanya. Tetapi kerana ianya adalah isu sensitif bagi umat Islam, maka semoga dengan ini kita akan sentiasa berjaga-jaga. Semoga kita semua tidak leka dengan arus perubahan duniawi yang hanya sementara ini.
Saya mendapat berita ini asalnya dari seorang sahabat. Dia memberitahu tentang ada berita dalam akhbar The Star, 28/12/2007 tentang paderi-paderi di gereja Malaysia, sedang membuat permohonan kepada mahkamah, agar meluluskan mereka untuk menukar nama Jesus kepada Allah. Astaghfirullah, berdiri bulu roma mendengarnya. Sungguh berita ini ada dalam akhbar the Star.

Selasa, 13 April 2010

Misteri: Manusia boleh lihat bunian

Umat Islam tak digalak berkawan dengan makhluk ghaib kerana tidak diketahui beriman atau kafir

DI sebalik dunia nyata yang kita tempuhi, ada kehidupan sama seperti manusia tetapi terselindung dan tidak dapat disingkap pancaindera biasa.
Penduduk alam ghaib itu dikatakan memiliki budaya setempat seperti bermain kompang dan berzanji, memiliki wajah dan fizikal seperti manusia.
Penghuni dunia itu juga hidup bermasyarakat, mendirikan rumah dan penempatan sama seperti kita malah dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki kenderaan sama seperti manusia.
“Apa yang membezakan orang bunian dengan manusia ialah jika berpakaian, semuanya mesti satu warna. Dari baju ke seluar sama warna,” kata Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah di Kuang, Selangor; Dr Jahid Sidik.
Dr Jahid yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, selain warna pakaian; berdasarkan pengalaman dan kes yang dirujuk kepadanya, semua aktiviti bunian sama seperti manusia.
“Cuma manusia tidak nampak mereka. Dalam al-Quran juga menyatakan manusia tidak dapat melihat makhluk ghaib seperti syaitan, jin dan bunian kerana mereka tidak memiliki jasad. Manusia memiliki empat unsur iaitu air, api, tanah dan angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api dan angin (menyebabkan mereka tidak berjasad),” katanya.
Beliau yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam perubatan Islam berkata, sehingga kini ada dua teori dikemukakan mengenai kewujudan dan asal usul orang bunian.
“Mengikut cerita orang lama termasuk guru saya; asal bunian ialah apabila manusia berkahwin dengan jin. Sememangnya dalam kitab fekah ada perbincangan mengenai perkahwinan antara manusia dan jin.
“Berdasarkan pengalaman yang dirujuk kepada saya, membuktikan perkahwinan antara jin dan manusia memang berlaku dalam kehidupan ini,” katanya yang turut menjelaskan bahawa perkahwinan itu menyebabkan bunian memiliki rupa dan budaya seperti manusia tetapi memiliki unsur api dan angin menyamai jin.
Satu teori lain mengenai kewujudan bunian adalah mereka pada asalnya manusia alim dan soleh, taat kepada perintah Allah tetapi akibat sebab tertentu, mereka terlalai dan melakukan kejahatan.
“Akibat malu berhadapan dengan manusia, mereka berdoa kepada Allah supaya kewujudan mereka tidak dilihat manusia. Ada versi mengatakan kejadian ini berlaku pada zaman Sahabat tetapi ada yang mengatakan ia berlaku sebelum zaman Rasulullah serta pada zaman Nabi-Nabi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, manusia biasa tidak dapat melihat bunian atau jin tetapi keadaan itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan tertentu, dengan izin Allah. Antaranya apabila ada jin atau bunian yang menumpang dalam badannya tanpa disedari individu itu.
“Ada orang berkata, bayi dapat melihat bunian atau jin kerana mereka masih suci. Itu tidak benar, sebenarnya bayi dapat melihat perkara ghaib itu kerana bunian atau jin menumpang di badannya.
“Ada satu kes seorang bapa mendakwa anak kecilnya istimewa (psikik) kerana dapat melihat benda ghaib. Selepas dibawa kepada saya, didapati dalam badannya ada jin dan selepas makhluk itu dikeluarkan, anak kecil itu kembali normal,” katanya.
Selain itu, manusia mampu melihat bunian jika makhluk itu menzahirkan jasadnya dan kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan fizikalnya berlaku apabila bunian itu mempelajari ilmu tertentu. Sebaliknya manusia juga boleh melihat bunian jika mereka mempelajari ilmu tertentu.
Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang dirujuk kepadanya sepanjang terbabit dalam bidang perubatan Islam itu.
“Satu kes di Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda masuk ke hutan mencari rotan tetapi seorang daripada mereka hilang ketika hari hampir malam.
“Operasi mencari dijalankan tetapi lelaki itu tetap tidak dijumpai sehinggakan ahli keluarga dan penduduk kampung menganggap pemuda itu sudah meninggal dunia akibat dibaham binatang buas. Masa berlalu dan kehilangan pemuda itu semakin kurang dibualkan penduduk dan ahli keluarga.
“Tiba-tiba, kira-kira lebih setahun selepas kehilangannya, pemuda itu kembali ke rumah keluarganya dan membawa bersama seorang anak dan isteri,” katanya.
Pemuda itu menceritakan, pada hari kehilangannya, dia tersesat dalam hutan dan apabila menjelang malam, ketika mencari jalan keluar, dia terjumpa sebuah rumah.
Selepas berehat semalaman, pemuda itu meminta izin pulang tetapi disuruh pemilik rumah tinggal bersama mereka dan berkahwin dengan anak perempuannya.
Selepas setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk keluarganya di alam manusia tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh mentuanya sama ada ingin terus berada di alam bunian atau bersama manusia. Lelaki itu memilih kekal bersama anak dan isterinya di alam bunian.
Kes kedua diceritakan Dr Jahid berlaku pada tahun-tahun terakhir jemaah haji menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan. Dalam sebuah kabin, ditempatkan tiga lelaki dan selepas berkawan, mereka bertukar alamat apabila ingin berpisah.
“Apabila pulang, seorang dari mereka yang tinggal di Kedah mengambil keputusan melawat kenalannya di Muar, Johor. Sebaik sampai di Muar, dia menunjukkan alamat kepada pemandu teksi yang berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan itu.
“Apabila sampai, didapati memang tiada penempatan di situ, selepas berjalan masuk ke dalam sedikit, baru dia menjumpai kampung dan rumah kenalannya. Tetapi selepas beberapa ketika berada di tangga rumah kenalan itu, dia ditolak seorang pemuda dan sebaik terjatuh, dia melihat rumah dan kampung ghaib sebaliknya digantikan dengan semak belukar,” katanya.
Kes ketiga lebih menyedihkan. Seorang gadis meminta pertolongan Dr Jahid untuk memisahkannya daripada suaminya lelaki bunian. Beberapa tahun sebelum perkahwinan mereka, lelaki itu mendatangi gadis itu dan mengugut supaya mengahwininya atau gadis itu akan mengalami sakit misteri.
Gadis itu enggan menyebabkan dia diserang penyakit misteri selama dua tahun. Akibat tidak tahan menanggung kesakitan sehingga menyebabkannya lumpuh, gadis itu bersetuju berkahwin dengan lelaki bunian berkenaan.
Bantuan yang diminta daripada Dr Jahid bagaimanapun dibatalkan gadis itu dipercayai selepas diugut suami buniannya dan sehingga kini, tidak diketahui nasib wanita itu.
FAKTA
- Bunian tidak ditakrif dalam al-Quran tetapi keajaiban Allah sama seperti kejadian manusia kembar.
- Manusia yang bersahabat atau berkawan dengan bunian, menjatuhkan martabat mereka sebagai khalifah Allah.
- Tidak seperti jin yang boleh terbang dan memiliki kemampuan lain, Bunian hidup seperti manusia dengan berjalan kaki, bercucuk tanam cuma bezanya mereka tidak dilihat manusia walaupun hidup di alam yang sama.
- Bunian boleh menyakiti manusia secara ghaib tetapi bagi bunian yang mempelajari ilmu tertentu, mereka boleh menyakiti manusia secara fizikal.
- Rawatan digunakan Dr Jahid untuk merawat gangguan jin atau bunian adalah kaedah ketukan. – Tanda-tanda seseorang diganggu bunian atau jin adalah berkelakuan pelik seperti melihat benda ghaib, berat badan kekal tetapi apabila diangkat terasa berat selain kesan aneh pada tubuh badan.
- Manusia tidak digalakkan berkawan dengan bunian kerana sukar diketahui sama ada bunian itu benar-benar beriman atau kafir.
- kaedah menjauhkan gangguan bunian atau jin adalah dengan menjaga ibadat wajib dengan sempurna selain memperbanyakkan ibadat sunat serta solat hajat, solat taubat dan berdoa.

Rekod gempa bumi terbesar di dunia hingga sekarangBerikut adalah rekod beberapa gempa bumi yang terbesar yang berlaku dari dulu hingga kepada yang terbaru sekali di Chile baru-baru ini. Senarai bukan mengikut susunan tahun tetapi mengikut kekuatan gempa bumi; - 22 Mei 1960: Sebuah gempa bumi berkekuatan 9.5, di selatan Chile dan disusuli tsunami mengorbankan sekurang-kurangnya...

Berikut adalah rekod beberapa gempa bumi yang terbesar yang berlaku dari dulu hingga kepada yang terbaru sekali di Chile baru-baru ini. Senarai bukan mengikut susunan tahun tetapi mengikut kekuatan gempa bumi; - 22 Mei 1960: Sebuah gempa bumi berkekuatan 9.5, di selatan Chile dan disusuli tsunami mengorbankan sekurang-kurangnya...

Jumaat, 9 April 2010

sahabat ku

cahaya dan warna

Cahaya dan warna ialah sebahagian daripada spektrum elektromagnet yang peka pada mata manusia dan juga merupakan sebahagian daripada spektra tenaga yang membolehkan kelangsungan kehidupan setiap makhluk di planet ini. Cahaya berbeza dari segi warna berpandukan ukuran dan jarak gelombang. Warna terpancar bermula daripada gelombang jarak jauh, ukuran rendah sehingga gelombang jarak pendek, ukuran tinggi.
Cahaya merupakan tenaga spektrum yang sangat luas dan boleh dilihat. Mata difokuskan untuk melihat refleks tenaga untuk keperluan sel tubuh. Frekuensi gelombang warna yang boleh dilihat oleh mata kasar bergetar antara 420 hingga 780 nanometer (nm). Warna-warna yang tidak dapat dilihat ialah warna ultra-ungu, infra-merah, gamma dan sinar x. Warna-warna yang amat laju ini tidak sesuai untuk keperluan kehidupan organisma di muka bumi ini.
Setiap unsur kimia di dalam tubuh dan di atas muka bumi ini mempunyai sifat frekuensi tenaganya sendiri. Frekuensi tenaga ini hanya dapat dikaitkan dengan sifat frekuensi warna. Dalam tubuh manusia, warna memainkan peranan sebagai penyeimbang sel untuk penyembuhan. Ini bermakna kita memerlukan warna-warna tertentu untuk hidup dengan harmoni. Setiap tujuh jenis warna pelangi mempunyai peranannya dalam fungsi tubuh.
Walaupun frekuensi setiap spesis sel berlainan tetapi aliran homeostatik bergetar dalam aliran yang setara 54 ke 72 mikro amp. Aliran yang konsisten ini akan memelihara tahap kesihatan yang maksima. Semua unsur kimia dengan struktur atomnya yang longgar dengan sendirinya menyumbang kepada penyakit dan akan bergetar pada frekuensi yang tidak konsisten. Keupayaan neuron otak turut merangsang organ yang berkaitan untuk bertindakbalas secara positif dengan warna yang dilihat. Kepintaran banyak bergantung kepada kapasiti oksigen yang diterima pada otak.
Seorang pakar psikologi barat mengatakan warna putih mampu meningkat kecerdasan, dan bayi perlu didedahkan sebanyak mungkin dengan warna putih dan warna-warna lembut untuk membolehkan IQnya bertambah secara maksimum. Warna ungu pula mampu mengatasi masalah kurang daya tumpuan di kalangan pelajar. Di samping itu, warna ungu yang disifatkan sebagai gelombang jarak jauh mampu merangsang minat pelajar.

Berdasarkan kajian sains fizik yang dijalankan, setiap 24 jam waktu siang dan malam, berlaku bertukaran warna sebanyak tujuh kali mengikut warna-warna pelangi. Pada pukul 12 tengah malam hingga pukul 1 pagi alam dan segala hidupan diselubungi cahaya putih manakala pukul 1 pagi hingga pukul 2 pagi pula bertukar kepada warna merah jambu. Pada peringkat inilah kepekaan otak adalah pada tahap maksimum. Kita juga dilarang mengulangkaji pelajaran pada waktu-waktu pertukaran iaitu antara pukul tujuh hingga ke tengah pagi kerana pada waktu ini warna infra merah, merah, oren dan kuning akan berlaku dan membuatkan keseimbangan dalam tubuh kita menjadi terganggu. Begitu juga dengan pukul tujuh hingga tujuh setengah petang.
Fenomena gangguan keseimbangan oleh getaran warna-warna tertentu ini boleh dikesan dengan jelas ke atas mereka yang mengalami masalah kesihatan. Misalnya demam, seringkali kita dapati demam akan bertambah teruk apabila tiba waktu-waktu begini. Sememangnya warna banyak memainkan peranan dalam kehidupan kita.
Walaupun kebanyakan kita mempunyai warna kegemaran masing-masing tetapi kita harus mengetahui apakah warna yang memberi kesan negatif dan yang memberi kesan positif dalam kehidupan kita. Warna-warna putih dan lembut sering dikaitkan dengan unsur-unsur positif. Bagi mereka yang hendak menjalani sesi temuduga dikehendaki mengenai pakaian daripada warna-warna yang lembut. Ini semua berkaitan dengan emosi mereka yang menemuduga dan yang ditemuduga. Daripada pakaian mereka sudah boleh menilai seseorang yang terbabit secara luaran. Begitu juga dengan hospital, jururawat, doktor dan pesakit serta bangunan dan perhiasan dalaman dihias berkonsepkan warna-warna lembut.
allah Pictures, Images and Photos