DI sebalik dunia nyata yang kita tempuhi, ada  kehidupan sama  seperti manusia tetapi terselindung dan tidak dapat  disingkap pancaindera biasa.
Penduduk alam ghaib itu dikatakan memiliki budaya  setempat  seperti bermain kompang dan berzanji, memiliki wajah dan  fizikal seperti manusia.
Penghuni dunia itu juga hidup bermasyarakat,  mendirikan rumah  dan penempatan sama seperti kita malah dikatakan turut  menunaikan haji dengan  menaiki kenderaan sama seperti manusia.
“Apa yang membezakan orang bunian dengan manusia  ialah jika  berpakaian, semuanya mesti satu warna. Dari baju ke seluar  sama warna,” kata  Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah di Kuang,  Selangor; Dr Jahid Sidik.
Dr Jahid yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian  Islam  Universiti Malaya berkata, selain warna pakaian; berdasarkan  pengalaman dan kes  yang dirujuk kepadanya, semua aktiviti bunian sama  seperti manusia.
“Cuma manusia tidak nampak mereka. Dalam al-Quran  juga  menyatakan manusia tidak dapat melihat makhluk ghaib seperti  syaitan, jin dan  bunian kerana mereka tidak memiliki jasad. Manusia  memiliki empat unsur iaitu  air, api, tanah dan angin tetapi bunian  menyamai jin hanya memiliki unsur api  dan angin (menyebabkan mereka  tidak berjasad),” katanya.
Beliau yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam  perubatan  Islam berkata, sehingga kini ada dua teori dikemukakan  mengenai kewujudan dan  asal usul orang bunian.
“Mengikut cerita orang lama termasuk guru saya; asal  bunian  ialah apabila manusia berkahwin dengan jin. Sememangnya dalam  kitab fekah ada  perbincangan mengenai perkahwinan antara manusia dan  jin.
“Berdasarkan pengalaman yang dirujuk kepada saya,  membuktikan  perkahwinan antara jin dan manusia memang berlaku dalam  kehidupan ini,” katanya  yang turut menjelaskan bahawa perkahwinan itu  menyebabkan bunian memiliki rupa  dan budaya seperti manusia tetapi  memiliki unsur api dan angin menyamai jin.
Satu teori lain mengenai kewujudan bunian adalah  mereka pada  asalnya manusia alim dan soleh, taat kepada perintah Allah  tetapi akibat sebab  tertentu, mereka terlalai dan melakukan kejahatan.
“Akibat malu berhadapan dengan manusia, mereka berdoa  kepada  Allah supaya kewujudan mereka tidak dilihat manusia. Ada versi  mengatakan  kejadian ini berlaku pada zaman Sahabat tetapi ada yang  mengatakan ia berlaku  sebelum zaman Rasulullah serta pada zaman  Nabi-Nabi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, manusia biasa tidak dapat melihat  bunian atau  jin tetapi keadaan itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan  tertentu, dengan  izin Allah. Antaranya apabila ada jin atau bunian  yang menumpang dalam badannya  tanpa disedari individu itu.
“Ada satu kes seorang bapa mendakwa anak kecilnya  istimewa (psikik)  kerana dapat melihat benda ghaib. Selepas dibawa  kepada saya, didapati dalam  badannya ada jin dan selepas makhluk itu  dikeluarkan, anak kecil itu kembali  normal,” katanya.
Selain itu, manusia mampu melihat bunian jika makhluk  itu  menzahirkan jasadnya dan kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan  fizikalnya  berlaku apabila bunian itu mempelajari ilmu tertentu.  Sebaliknya manusia juga  boleh melihat bunian jika mereka mempelajari  ilmu tertentu.
Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang  dirujuk  kepadanya sepanjang terbabit dalam bidang perubatan Islam itu.
“Satu kes di Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda masuk ke  hutan  mencari rotan tetapi seorang daripada mereka hilang ketika hari  hampir malam.
“Operasi mencari dijalankan tetapi lelaki itu tetap  tidak  dijumpai sehinggakan ahli keluarga dan penduduk kampung  menganggap pemuda itu  sudah meninggal dunia akibat dibaham binatang  buas. Masa berlalu dan kehilangan  pemuda itu semakin kurang dibualkan  penduduk dan ahli keluarga.
“Tiba-tiba, kira-kira lebih setahun selepas  kehilangannya,  pemuda itu kembali ke rumah keluarganya dan membawa  bersama seorang anak dan  isteri,” katanya.
Pemuda itu menceritakan, pada hari kehilangannya, dia   tersesat dalam hutan dan apabila menjelang malam, ketika mencari jalan  keluar,  dia terjumpa sebuah rumah.
Selepas berehat semalaman, pemuda itu meminta izin  pulang  tetapi disuruh pemilik rumah tinggal bersama mereka dan  berkahwin dengan anak  perempuannya.
Selepas setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk  keluarganya  di alam manusia tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh  mentuanya sama ada  ingin terus berada di alam bunian atau bersama  manusia. Lelaki itu memilih kekal  bersama anak dan isterinya di alam  bunian.
Kes kedua diceritakan Dr Jahid berlaku pada  tahun-tahun  terakhir jemaah haji menggunakan kapal laut sebagai  pengangkutan. Dalam sebuah  kabin, ditempatkan tiga lelaki dan selepas  berkawan, mereka bertukar alamat  apabila ingin berpisah.
“Apabila pulang, seorang dari mereka yang tinggal di  Kedah  mengambil keputusan melawat kenalannya di Muar, Johor. Sebaik  sampai di Muar,  dia menunjukkan alamat kepada pemandu teksi yang berasa  pelik kerana tiada  kampung di kawasan itu.
“Apabila sampai, didapati memang tiada penempatan di  situ,  selepas berjalan masuk ke dalam sedikit, baru dia menjumpai  kampung dan rumah  kenalannya. Tetapi selepas beberapa ketika berada di  tangga rumah kenalan itu,  dia ditolak seorang pemuda dan sebaik  terjatuh, dia melihat rumah dan kampung  ghaib sebaliknya digantikan  dengan semak belukar,” katanya.
Kes ketiga lebih menyedihkan. Seorang gadis meminta   pertolongan Dr Jahid untuk memisahkannya daripada suaminya lelaki  bunian.  Beberapa tahun sebelum perkahwinan mereka, lelaki itu  mendatangi gadis itu dan  mengugut supaya mengahwininya atau gadis itu  akan mengalami sakit misteri.
Gadis itu enggan menyebabkan dia diserang penyakit  misteri  selama dua tahun. Akibat tidak tahan menanggung kesakitan  sehingga  menyebabkannya lumpuh, gadis itu bersetuju berkahwin dengan  lelaki bunian  berkenaan.
Bantuan yang diminta daripada Dr Jahid bagaimanapun   dibatalkan gadis itu dipercayai selepas diugut suami buniannya dan  sehingga  kini, tidak diketahui nasib wanita itu.
FAKTA
- Bunian tidak ditakrif dalam al-Quran tetapi  keajaiban Allah  sama seperti kejadian manusia kembar.
- Manusia yang bersahabat atau berkawan dengan  bunian,  menjatuhkan martabat mereka sebagai khalifah Allah.
- Tidak seperti jin yang boleh terbang dan memiliki  kemampuan  lain, Bunian hidup seperti manusia dengan berjalan kaki,  bercucuk tanam cuma  bezanya mereka tidak dilihat manusia walaupun hidup  di alam yang sama.
- Bunian boleh menyakiti manusia secara ghaib tetapi  bagi  bunian yang mempelajari ilmu tertentu, mereka boleh menyakiti  manusia secara  fizikal.
- Rawatan digunakan Dr Jahid untuk merawat gangguan  jin atau  bunian adalah kaedah ketukan. – Tanda-tanda seseorang diganggu  bunian atau jin  adalah berkelakuan pelik seperti melihat benda ghaib,  berat badan kekal tetapi  apabila diangkat terasa berat selain kesan  aneh pada tubuh badan.
- Manusia tidak digalakkan berkawan dengan bunian  kerana  sukar diketahui sama ada bunian itu benar-benar beriman atau  kafir.
- kaedah menjauhkan gangguan bunian atau jin adalah  dengan  menjaga ibadat wajib dengan sempurna selain memperbanyakkan  ibadat sunat serta  solat hajat, solat taubat dan berdoa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan