Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9  Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda  menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi  dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:
- "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan,  Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua  selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan  sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada  hari ini.
 
- "Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota  ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai  amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada  pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain  tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan  menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala  amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang  melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
 
- "Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia  telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,  maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam  perkara-perkara kecil.
 
- "Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu,  mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan  hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan  pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan  baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka  adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka  ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak  sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
 
- "Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,  sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari  harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.  Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.  Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang  lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
 
- "Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk  dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh  itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan  kebenaran selepas ketiadaanku.
 
- "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang  selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,  nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan  kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang  sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu  tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
 
- "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula  kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari  mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya  telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
 
                              Gua Hira tempat pertama kali Nabi Muhammad memperoleh wahyu.